PARIS: Tepat pada hari ulang tahun kelahiran ke-22, pelumba UAE Team Emirates, Tadej Pogacar secara rasmi bergelar Raja Tour de France selepas menamatkan peringkat terakhir di Champs-Elysees, semalam.
Setelah menyambar jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan menerusi persembahan menakjubkan pada saingan ujian masa kelmarin, Pogacar dilihat berkayuh lebih santai selain melayani peminat bergambar dan menerima ucapan tahniah daripada pesaing sebelum memulakan perlumbaan.
“Ia menakjubkan, gilalah! Sekali pun saya datang berlumba dan menduduki tempat kedua atau di belakang sebelum ini namun saya dapat mengatasinya. Saya rasa bagus berada di sini, berada di puncak di atas puncak.
“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ini dengan kata-kata. Ini adalah perjalanan yang panjang, permulaan baik sejak dari Nice dan berakhir dengan cara yang paling indah.
“Saya hanya fokus kepada Tour de France sejak awal tahun ini, persiapannya sempurna dan dirancang dengan baik oleh pasukan dengan kem latihan dan rancangan latihan semasa penutupan,” katanya yang turut dinobatkan selaku Raja Bukit (jersi polka-dot) dan Pelumba Muda Terbaik (jersi putih) pada Tour de France kali ini.
Dalam pada itu, pelumba Deceuninck-Quick-Step, Sam Bennett dinobatkan selaku Raja Pecut selepas mengungguli perebutan jersi hijau dengan 380 mata, termasuk muncul juara dalam perlumbaan terakhir itu.
“Saya tidak dakat menjelaskan tentang perasaan saya sekarang. Berdiri di sini sebagai pemenang jersi hijau di Champs-Elysées. Ini adalah kejohanan dunia buat pemecut. Saya tidak sangka dapat memenangi peringkat ini dan bergelar Raja Pecut,” kata pelumba kelahiran Belgium itu. – AGENSI