Penalti, 2 kad merah selamatkan Spurs - Utusan Malaysia

Penalti, 2 kad merah selamatkan Spurs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PLOVDIV, Bulgaria: Dua gol dalam 10 minit terakhir, termasuk satu sepakan penalti menyelamatkan Tottenham daripada tersingkir dari Liga Europa selepas menewaskan Lokomotiv Plovdiv 2-1 pada pusingan kelayakan kedua awal pagi tadi.

Kelab London itu juga memanfaatkan nasib malang lawan yang terpaksa menamatkan permainan dengan sembilan pemain ekoran dua layangan kad merah.

Sepakan penalti Harry Kane pada minit ke-80 dan jaringan Tanguy Ndombele, lima minit sebelum tamat memastikan naib juara Eropah 2019 itu tidak kalah dalam halangan pertama Liga Europa kepada pasukan yang tidak pernah melepasi pusingan kelayakan itu.

Bermain sebagai underdog, Plovdiv mengejutkan Spurs apabila membuka jaringan menerusi pemain gantian, Georgi Minchev pada minit ke-71.

Bagaimanapun malang menimpa kelab Bulgaria itu apabila bek tengah mereka, Dinis Almeida dilayangkan kad merah di minit ke-78.

Plovdiv semakin ‘sakit’ selepas penyerang, Bircent Karagaren pula dibuang padang selang seminit kerana mengutip kad kuning kedua.

“Tanguy dalam proses revolusi. Musim lalu dia gagal dan saya tidak nampak perubahannya.

“Sekarang saya percaya kepadanya. Saya tidak pernah meragui kemampuan Tanguy sejak musim lalu cuma saya meragui usaha dan motivasinya,” kata pengurus Tottenham, Jose Mourinho.

Mourinho membariskan skuad terbaik termasuk Kane, Hugo Lloris dan Son Heung-min dengan hanya empat pertukaran daripada skuad yang tewas 1-0 kepada Everton pada permulaan kempen Liga Perdana mereka.

Spurs yang kini menanti kepulangan Gareth Bale akan menentang FK Shkendiva di Tetovo, Macedonia pada Khamis depan, hanya 48 jam selepas perlawanan Piala Liga di Leyton Orient. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya