PUTRAJAYA: Ahmad Nor Iman Rakib dan Siti Asiah Zaini dinobat sebagai Olahragawan serta Olahragawati Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (PolySEA) 2019 hari ini.
Nor Iman, penuntut tahun satu Politeknik Nilai menyumbang pingat perak dalam taekwondo pada Sukan SEA Manila 2019.
Penuntut Diploma Pengurusan Peruncitan berusia 20 tahun itu berkata, anugerah yang diterima sangat bermakna buat dirinya dan berharap dapat terus menyumbang kepada sukan tanah air.
“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi pendorong kepada saya untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan SEA akan datang. Kalau boleh saya mahu pingat emas.
“Seandainya sempadan negara dibuka, saya berpeluang untuk berlatih di luar negara dan meningkatkan kemahiran saya bagi temasya akan datang,” katanya yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM3,OOO.
Sementara itu, Siti Asiah yang juga penuntut tahun tiga Diploma Mekatronik dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah menerima anugerah itu selepas menyumbang pingat gangsa dalam sukan petanque di Sukan SEA Manila 2019.
Olahragawan Harapan menjadi milik Amlul Hazim Nasarrudin dari Politeknik Merlimau selepas kejayaan meraih pingat perak dalam sukan ragbi di Sukan SEA Manila.
Olahragawati Harapan menjadi milik Qasidah Najwa Muhammad Halimi dari sukan hoki selepas kejayaan meraih pingat emas di Sukan SEA Manila.