PARIS: Neymar antara lima pemain dibuang padang akibat bergaduh dalam aksi Ligue 1 yang menyaksikan Marseille mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 sebentar tadi.
Florian Thauvin meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-31 ketika PSG mencatat keputusan terburuk sejak musim 1984-1985 apabila tewas dalam dua aksi pembukaan liga.
Bagaimanapun pergaduhan lewat permainan memburukkan keadaan selepas dua pemain PSG, Leandro Paredes dan Layvin Kurzawa serta pemain Marseille, Jordan Amavi dan Dario Benedetto dibuang padang.
Pengadil kemudian melihat ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mendapati Neymar menumbuk pemain lawan sebelum turut melayangkan kad merah kepada penyerang Brazil itu.
Sebelum meninggalkan padang, Neymar memberitahu pegawai keempat perlawanan, dia mendengar kata-kata perkauman dihamburkan pemain lawan.
Perlawanan berlangsung tegang sejak awal menyaksikan 17 kad kuning dilayangkan keseluruhan, sekali gus mencipta rekod baharu Ligue 1.
Semua bermula apabila Benedetto menjatuhkan Paredes yang kemudian bertindak menanduk Alvaro sehingga terjatuh.
Huru hara meletus apabila Kurzawa dan Amavi saling bertumbuk dan menendang pada waktu kecederaan.
Benedetto dan Paredes masing-masing ditunjukkan kad kuning kedua, manakala Kurzawa dan Amavi dilayangkan merah.
Ini kekalahan kedua buat juara bertahan, PSG selepas tewas 0-1 kepada Lens minggu lalu. – AGENSI