KUALA LUMPUR : Pemain sayap Kelantan, Nazrin Nawi berharap dia akan diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan Liga Perdana menentang Selangor II malam esok selepas berehat panjang akibat kecederaan tumit kaki sejak Mac lalu.
Kali terakhir pemain berusia 31 tahun itu beraksi adalah ketika perlawanan menentang Kelantan United pada 10 Mac lalu sebelum dihimpit kecederaan serius sekali gus diketepikan dalam perlawanan seterusnya termasuklah dua perlawanan terdahulu berdepan UKM FC dan Pulau Pinang.
Kini, Nazrin kembali ke pangkuan pasukan dalam latihan selepas lama menjalani proses pemulihan dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan malam esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Walaupun sedar bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama, tetapi anak jati Kelantan ini tidak kisah seandainya diturunkan hanya untuk beberapa minit kerana dia terlalu inginkan momentum perlawanan atas padang, apatah lagi saingan Liga Perdana berbaki enam perlawanan sahaja.
“Musim ini, saya hanya sempat bermain dua perlawanan , memang tidak puas ditambah pula dengan kecederaan serius dan liga ditangguhkan disebabkan Covid-19.
“Sekarang memang saya sudah pulih cuma sakit kadang-kadang masih rasa di tumit kaki. Suka atau tidak saya kena tahan sahaja sebab kalau tidak, sampai bila-bila saya tidak boleh beraksi.
“Sekarang ini saya dapat ikut pasukan untuk perlawanan malam esok, cuma rasanya mungkin agak mustahil untuk berada dalam kesebelasan utama, jadi kalau dapat turun sebagai pemain gantian untuk 15 atau 20 minit pun, sudah lebih daripada cukup untuk saya.
“Macam mana pun, saya kena dapatkan kembali tahap keyakinan selepas bergelut dengan kecederaan dan tidak ingin terlepas untuk terus membantu Kelantan pada musim ini,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
Dalam masa sama, Nazrin tidak menolak moralpemain ketika ini di tahap terbaik selepas Kelantan kini sah menjadi milik pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman yang melabur sebanyak RM6.8 juta untuk pasukan.
Sudah pastilah, mereka enggan membiarkan Kelantan dihimpit kekalahan kedua apabila menentang, apatah lagi skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu juga di landasan terbaik dengan tiga kemenangan berturut-turut ketika ini.
“Kita tahu Selangor II tewas dalam dua perlawanan pada awal musim, sebelum mereka bangkit dan terus memperoleh kemenangan berterusan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
“Jadi, mereka bukanlah calang-calang untuk kita pandang sebelah mata, dan Kelantan perlu memberikan fokus sepenuhnya untuk tidak lagi tersungkur selepas kita tewas dengan Pulau Pinang, minggu lalu.
“Apa-apa pun, kita datang ke sini bukan untuk kalah dan walaupun Selangor 2 ramai pemain muda yang hebat, saya sebagai pemain senior bersama rakan sepasukan lain perlu bijak main peranan untuk menewaskan mereka,” katanya.
Dua lagi perlawanan yang akan berlangsung pada malam esok membabitkan aksi di antara Perak II dan Kuching FA manakala Terengganu FC II akan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II)
Malam ini tiga perlawanan akan berlangsung terlebih dahulu iaitu Sarawak United Fc akan berdepan UKM FC, Kelantan United menentang Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan menerima kunjungan Negeri Sembilan.