KOTA BHARU: Kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV semalam tidak membantutkan hasrat Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) untuk memburu slot Liga Super musim depan.
Pengendalinya, Zahasmi Ismail tetap positif barisan pemain KUFC mampu mengumpul seberapa banyak mata dalam baki lima perlawanan selepas ini.
Menurutnya, sikap optimis itu dilaungkan selepas KUF akan be berdepan beberapa kelab ‘feeder’ pada pertemuan berikutnya selepas ini.
“Saya tiada niat untuk merendahkan kemampuan pihak lawan, namun berpandukan kepada situasi semasa ia tampak terbuka.
“Cuma selepas ini kita hanya akan berdepan satu pasukan kuat iaitu Pulau Pinang. Jadi tidak salah kita memasang impian itu,” katanya.
Mengulas mengenai aksi semalam Zahasmi memberitahu, dia kecewa dengan ketumpulan barisan penyudah terutama Selwan Al Jaberi.
Katanya, sekiranya Selwan mampu memanfaatkan peluang terhidang tidak mustahil KUFC memperoleh mata penuh.
“Sebagai penyerang import, dia patut guna peluang yang diperoleh ketika ketinggalan satu gol.
“Dia sia-siakan peluang tersebut dan kita kena serangan balas seterusnya gagal bangkit,” ujarnya.
Sementara itu, Nidzam Adha Yusof mengambur pujian kepada barisan pemainnya yang berjaya mencuri tiga mata dalam perlawanan tersebut.
Katanya, beliau cukup teruja anak didiknya tidak melakukan kesilapan mudah dan buat kali Kuala Lumpur tidak bolos selepas tujuh perlawanan.