BARCELONA: Frenkie de Jong mendedahkan Lionel Messi masih berada dalam kumpulan WhatsApp Barcelona meskipun mahu meninggalkan skuad Catalan.
Messi baru-baru ini menyatakan niatnya untuk berhijrah ke kelab lain dan dikaitkan berpindah ke Inter Milan, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.
Barca bagaimanapun enggan membiarkan bintang Argentina itu pergi begitu sahaja apabila meletakkan 700 juta euro (RM3.46 bilion) untuk klausa pelepasan.
De Jong berkata, dia tetap menganggap Messi masih bersama Barca walaupun penyerang prolifik tersebut tidak tidak menyertai sesi latihan untuk musim 2020-21.
“Saya harap Messi masih berada di sana apabila pulang nanti, namun bukan saya sahaja yang mengharapkan sebegitu.
“Buat masa ini dia masih berada di dalam kumpulan WhatsApp. Bagaimanapun saya bukan siapa-siapa yang ingin berbicara tentangnya.
“Cuma saya yakin ramai lagi yang rapat dengannya untuk bercakap tentang perkara ini,” kata De Jong kepada Fox Sports.
Pemain tengah itu menyertai Barcelona pada musim panas lalu selepas membuat kejutan bersama Ajax untuk mara ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara 2018-19.- AGENSI