MADRID: Selepas melalui ‘drama’ panjang dan gagal meninggalkan Barcelona, Lionel Messi akhirnya muncul di pusat latihan kelab hari ini untuk menyertai rakan-rakan sepasukan.
Messi tiba di Ciutat Esportiva, Sant Joan Despi untuk menyertai latihan pertama di bawah pengurus baharu, Ronald Koeman.
Penyerang Argentina itu dan Philippe Coutinho, yang baru kembali dari Bayern Munich dilihat menjalani latihan berasingan dari kumpulan utama.
Messi, 33, menyuarakan hasrat meninggalkan Camp Nou bulan lalu selepas tidak lagi gembira bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Hasrat tersebut bagaimanapun dibatalkan kerana isu perundangan, sambil menyifatkan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu telah mungkir janji dan punca utama dia gagal meninggalkan kelab.
Bagaimanapun, kepulangan pemenang Ballor d’Or enam kali itu tidak mudah kerana rakan-rakan rapatnya, termasuk Luis Suarez serta Arturo Vidal masing-masing dijangka menyertai Juventus dan Inter Milan.
Jika Messi melepasi ujian Covid-19 tanpa masalah, dia mungkin akan tampil dalam perlawanan persahabatan pertama di bawah Koeman apabila menentang Gimnastic Tarragona pada Sabtu ini.
Ia adalah aksi pertama Messi beraksi sejak kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern dalam suku akhir Liga Juara-Juara. – AGENSI