KUALA LUMPUR: Legenda Manchester United, Gary Neville yakin Lionel Messi akan memberi impak besar dalam sejarah bola sepak England jika penyerang sensasi Barcelona itu bersetuju untuk berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris musim depan.
Neville, 45, berkata, sekiranya Messi memilih untuk berpindah ke kancah liga berprestij dunia itu, dia akan menjadi pemain paling berkualiti dan ternama yang belum pernah dibeli mana-mana kelab England.
Tambah bekas bek kanan United itu, kedatangan Messi ke sana juga bakal mencuri tumpuan bukan sahaja England, malah seluruh dunia, yang mahu melihat pemain berusia 33 tahun itu beraksi di luar La Liga buat pertama kali.
“Ketika Ronaldo datang ke United, dia bukanlah nama yang besar tetapi dia mencipta kariernya di sini sehingga menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia.
“Lain pula dengan Messi yang sememangnya diiktiraf sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, andai dia datang ke sini (Liga Perdana), ia akan menjadi satu sejarah besar di England. Malah, saingan musim depan juga pasti menakjubkan
“Saya yakin ramai peminat teruja untuk menyaksikan bagaimana Messi menyesuaikan diri dengan saingan liga yang lebih fizikal dan kompetitif berbanding La Liga.
“Sudah tentu ia cukup menarik untuk ditonton,” kata Neville dalam sidang video sempena majlis perasmian musim baharu Liga Perdana anjuran Astro di Sunway Pyramid kelmarin.
Turut hadir ke majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif TV dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro, Euan Smith dan Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.
Pemenang enam kali Ballon d’Or itu minggu lalu mendedahkan mahu meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Barca selepas kecewa dengan prestasi hambar pasukannya pada musim terdahulu.
Dia dikaitkan berminat untuk bergabung semula dengan bekas bosnya di Barca, Pep Guardiola yang kini mengendalikan Manchester City di Liga Perdana.
Messi bagaimanapun dijangka membuat pusingan ‘U’ apabila mempertimbangkan untuk kekal setahun lagi bersama Barcelona, menurut Jorge iaitu bapa dan juga ejen bagi pemain prolifik tersebut.
Jorge sanggup berlepas ke Sepanyol bagi mengadakan perbincangan selama dua hari bersama Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu.