KUALA LUMPUR: Positif atau negatif? Tunda atau tidak.
Itu debaran Melaka United yang baru kembali dari Kota Kinabalu semalam selepas selesai mengharungi aksi Liga Super menentang Sabah kelmarin.
Semua anggota skuad Sang Kancil yang kalah 3-2 di Stadium Likas wajib menjalani ujian swab di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
Ia selaras dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19.
Situasi itu mungkin memaksa pertemuan mereka menentang Kedah di Alor Setar, Jumaat ini ditunda kerana keputusan ujian swab mengambil masa tiga hari untuk diketahui dan tempoh itu dianggap amat suntuk.
Selain itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga mungkin terpaksa menananguhkan hasrat menjulang kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini kerana pertemuan menentang Sabah turut berisiko dipinda.
“Bukan dikuarantin 14 hari. Melaka perlu menjalani ujian swab di KLIA. Jika negatif Covid-19, mereka akan dibebaskan kalau positif baru kuarantin.
“Perlawanan mungkin dipinda kerana tempoh mendapat keputusan ujian tiga hari. Itu akan menjejaskan latihan.
“Begitu juga aksi Sabah dan JDT tapi kami tidak boleh sahkan akan dipinda atau tidak kerana MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) perlu hubungi pasukan terlebih dulu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, 115 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negara ini dan 98 daripadanya di Sabah.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan semalam berkata, 11 daripada 112 kes tempatan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.