Magis Fayyad bantu Lang Merah menang - Utusan Malaysia

Magis Fayyad bantu Lang Merah menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi cemerlang bintang muda Kedah, Fayadh Zulkifli membantu Lang Merah melakar kemenangan keempat berturut-turut selepas Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung pada 28 Ogos lalu ekoran pandemik Covid-19.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi satu jaringan dan bantuan gol Fayyad membolehkan Kedah melakar kemenangan 3-1 ke atas Sabah.

Skuad Hijau Kuning menyambung liga dalam keadaan bermasalah apabila menghadapi tunggakan gaji namun mereka tetap berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas PDRM pada 29 Ogos.

Momentum itu diteruskan dengan menewaskan Petaling Jaya City (5 September) dan Felda United, minggu lalu menerusi keputusan 2-1.

Lang Merah membuka tirai jaringan menerusi tandukan Kpah Sherman yang menyambut baik hantaran lintang Tchetche Kipre dari sebelah kiri gawang pelawat pada minit ke-26.

Tersentak dengan g itu, Sabah hanya memerlukan seminit untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah pemain import dari Thailand, Dennis Buschening yang memanfaatkan umpanan Rodoljub Paunovic.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama walaupun kedua-dua pasukan mempunyai peluang menambah jaringan bermain dalam keadaan padang basah.

Bersambung babak kedua, skuad Tembadau bermula garang apabila melakukan dua percubaan berturut-turut ke gawang Lang Merah namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Kemasukan Fayyad pada minit ke-69 menggantikan Hadin Azman memberi impak positif apabila hanya memerlukan dua minit untuk melakukan gerakan gol kepada Kipre yang meletakkan Kedah kembali mendahului.

Empat minit kemudian, giliran pemain muda berusia 21 tahun itu mencipta nama sebagai penjaring apabila bijak memperdayakan dua pertahanan Sabah sebelum melakukan rembatan kaki kiri dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim buat kali ketiga.

“Dia (Fayyad) pemain muda yang masih belajar dan musim lalu dia beraksi cukup baik tetapi musim ini permulaan yang agak perlahan untuknya.

“Malam ini dia kembali menyerlah dan berada dalam prestasi sebenar. Ia bagus untuk pasukan dan saya harap dia dapat terus mengekalkan aksi ini dalam perlawanan seterusnya.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan gembira dengan persembahan semua pemain dan kita dapat tiga mata lagi walaupun berdepan Sabah yang menunjukkan tentangan yang cukup sengit,” kata jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak selepas perlawanan.

Aksi itu sepatutnya berlangsung di Alor Setar dipindahkan ke ibu kota ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dikuatkuasakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Kedah bakal berdepan cabaran lebih getir dalam baki tiga perlawanan apabila bertemu Pahang, Melaka United dan Perak untuk merebut peluang menamatkan saingan selaku naib juara, sekali gus meraih tiket automatik ke Piala AFC musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya