KUALA LUMPUR: Isu gaji yang belum selesai tidak menjejaskan moral Kedah apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Lang Merah melonjak ke tangga ketiga selepas menumpaskan Petaling Jaya FC (PJ City) 2-1 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan PJ City pada minit ke-15 menerusi penyerang sensasinya, Washington Brandao.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya menemui gawang lawan pada minit ke-24.
Jaringan berpunca daripada umpanan Rizal Ghazali yang disempurnakan Kpah Sherman selepas menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz.
Memasuki babak kedua, Kedah semakin agresif mengasak gawang PJ City sebelum Tchetche memecah kebuntuan pada minit ke-67.
Ini kemenangan ketiga berturut-turut buat Kedah selepas menumpaskan PDRM dan Selangor 2-0.