ALOR SETAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di daerah Kota Setar bermula semalam, diakui memberi kesan kepada Lang Merah.
Pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak berkata, beberapa perkara perlu diberi perhatian kerana kebanyakan pemain serta jurulatih tinggal di kawasan terlibat.
“Begitu juga Stadium Sultan Abdul Halim yang menjadi tempat kami berlatih dan Stadium Darul Aman adalah gelanggang utama.
“Setakat ini kami belum ada apa-apa maklumat berikutan pelaksanaan PKPD baru diumumkan.
“Namun kami berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat memberikan kata putus nengenai beberapa perkara dalam masa terdekat bagi memudahkan perancangan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH).
Kedah akan berdepan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak bagi saingan Liga Super, hari ini.
Aidil Sharin berharap, latihan pemain tidak terjejas kerana ketika ini moral pasukan berada di tahap terbaik.
“Sudah tentu faktor keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan. Oleh itu, jika terpaksa berlatih di luar Kota Setar pun tak mengapa asalkan sesi
latihan kami tidak terganggu,” katanya.