KOTA BHARU: Pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah mendedahkan benteng pertahanan dan jentera serangan pasukannya perlu terus diperkukuhkan bagi mengharungi baki dua perlawanan Liga Perdana.
Yusri berkata, benteng pertahanannya dilihat sedikit goyah terutama diminit-minit akhir perlawanan meskipun berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 keatas Sarawak United semalam.
Katanya, bukan itu sahaja jentera serangan TRW dilihat turut ketandusan idea apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang pada perlawanan tersebut.
“Bagaimanapun saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan yang amat diperlukan.
“Kita tidak beraksi dengan begitu baik, namun pemain telah menunjukkan komitmen dan usaha yang tinggi. Akhirnya kita menang perlawanan ini walaupun jaringan hadir pada minit ke-84,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan memerlukan sepakan penalti Nazrin Nawi enam minit sebelum tamat permainan untuk mencatat kemenangan.
Kelantan yang sudahpun terlepas tiket ke Liga Super musim depan kini menghidupkan peluang untuk memburu slot Piala Malaysia.
Kemenangan itu menyaksikan TRW Kelantan FC melonjak ke tangga ke lima dalam carta Liga Primier dengan mengumpul 11 mata hasil sembilan perlawanan.
Yusri memberitahu, dia berharap barisan pemainnya terus kekal fokus untuk aksi berikutnya menentang Negeri Sembilan selepas ini.
Katanya, Negeri Sembilan merupakan pasukan yang kuat dan tidak boleh diambil mudah oleh barisan pemain Kelantan.
“Saya ada lapan hari untuk memperbaiki kelemahan tersebut dan kita akan terus berusaha sebaik mungkin.
“Bagi saya ia tempoh yang baik untuk pemain membuat ‘comeback’. Saya akan gunakan segala kekuatan yang ada kerana kita berdepan dengan masalah kekurangan pemain akibat kecederaan dan masih belum cergas sepenuhnya,” katanya.
Kelantan akan menentang Negeri Sembilan, Sabtu depan sebelum bertandang ke Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 9 Oktober.
Sementara itu, Yusri mahu penjaga golnya Mohammad Fikri Che Soh kekal fokus untuk aksi berikutnya selepas ini selepas beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut.
Katanya, tanpa bantuan Mohammad Fikri berkemungkinan besar pasukannya gagal meraih mata penuh pada perlawanan itu.