Kehadiran Havertz gugat 5 pemain - Utusan Malaysia

Kehadiran Havertz gugat 5 pemain

KAI Havertz sah milik Chelsea selepas menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab London itu semalam. – IHSAN CHELSEA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kai Havertz akhirnya menjadi milik Chelsea selepas gergasi Liga Perdana (EPL) itu membayar 71 juta pound (RM391.1 juta) kepada Bayer Leverkusen untuk mendapatkan bakat muda Jerman tersebut.

Havertz, 21, melengkapkan perbelanjaan mewah Blues yang setakat ini sudah berbelanja 200 juta pound (RM1.1 bilion) dalam misi merampas kejuaraan liga musim depan.

Boleh beraksi di posisi tengah mahu pun serangan, Havertz yang menandatangani kontrak lima tahun menyertai Hakim Ziyech, Timo Werner, Ben Chilwell dan Thiago Silva sebagai keluarga baharu Chelsea.

Kemasukan Havertz, yang meledak 46 gol dalam 150 perlawanan kompetitif bersama Leverkusen, termasuk 18 gol musim lalu menimbulkan tanda tanya apa akan berlaku kepada pemain yang mewarnai kelab London itu sebelum ini.

Nama-nama seperti Mason Mount dan Callum Hudson-Odoi menjadi sebutan musim lalu, namun mereka mungkin antara lima pemain yang terpaksa memberi laluan kepada rekrut baharu Frank Lampard.

Mount, 21, banyak memainkan peranan di bahagian tengah serangan, posisi sama yang dimainkan Havertz bersama Le­verkusen.

Havertz hampir pasti menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama melihat kepada harga dan reputasi yang dibayar Chelsea.

Ruben Loftus-Cheek, 24, diketepikan setahun akibat kecederaan dan membuat penampilan semula ketika menentang Aston Villa dalam saingan liga, 22 Jun lalu. Seperti dijangka, aksinya sedikit berkarat.

Ross Barkley, pemain te­ngah dinamik hanya membuat 17 penampilan liga sejak tiba di Stamford Bridge dari Everton pada Januari, 2018 dan peranannya juga hampir sama dengan Havertz.

Turut terancam adalah pemain Croatia, Mateo Kovacic. Biarpun posisinya tidak sama dengan Havertz, namun kema­sukan Ziyech dan Werner pasti membataskan peluangnya, apatah lagi Blues turut memiliki Tammy Abraham.

Hudson-Odoi, 19, seorang lagi pemain yang dijangka terancam dengan kehadiran rekrut baharu Lampard, malah ada yang mencadangkan agar dia dipinjamkan ke kelab lain untuk meraih pengalaman beraksi dalam skuad utama.

Peminat akan mendapat baya­ngan sejauh mana ‘wajah baharu’ Chelsea mampu menggugat Liverpool dan Manchester City apabila kelab London itu memulakan kempen dengan menentang Brighton di tempat lawan, Selasa depan.

“Saya gembira dan bangga berada di sini.

“Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dapat beraksi untuk kelab besar seperti Chelsea. Saya tidak sabar hendak bertemu pemain serta jurulatih,” kata Havertz selepas menandatangani kontrak semalam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya