Kedah tak mahu jadi 'ayam goreng' KFC - Utusan Malaysia

Kedah tak mahu jadi ‘ayam goreng’ KFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pasukan bola sepak Kedah akan menggunakan nama Darul Aman FC (DFC) musim depan setelah berjaya melengkapkan proses penswastaan kelab baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penggunaan nama itu sekali gus  mengelakkan daripada penggunaan akronim KFC yang cukup sinonim dengan jenama restoran makanan segera terkenal.

“Jika letak nama Kedah Football Club, akan jadi KFC. Nak elak jadi ‘ayam goreng’, maka kita namakan Darul Aman Football Club.

“Logo pasukan juga berubah di mana tiada lagi lambang helang mahu pun lain-lain haiwan. Justeru, pasukan ini tidak lagi akan dikenali sebagai Lang Merah musim depan,” katanya di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, beliau turut menunjukkan logo yang dipilihnya sendiri dan telah didaftar untuk menjadi identiti pasukan berkenaan.

Logo berbentuk perisai itu mempunyai beberapa warna antaranya merah, kuning dan hijau serta memaparkan lima bintang, sebiji bola dan bunga padi yang menjadi ikon negeri.

 

Mengulas lanjut katanya, penggunaan nama Lang Merah yang sudah sinonim dengan Kedah tidak sepatutnya menjadi isu kerana terdapat nama lain yang turut boleh digunakan untuk menggambarkan pasukan itu.

“Kita gunakan nama Hijau Kuning pun bagus. Lagi pun lagu kita yang ada penekanan terhadap ‘Hijau Kuning’, cukup sedap didengar.

“Penswastaan ini cuma formaliti saja di mana pada dasarnya kita masih menggunakan warna dan lagu yang sama serta masih boleh bersorak ‘hijau kuning’,” katanya.

Beliau menjelaskan, buat permulaan KFA akan menjadi pemilik tunggal pasukan DFC.

“Sesiapa yang berminat untuk berunding mengenai pemilikan saham boleh datang berbincang dengan kami. Setakat ini, ada beberapa pihak sudah menyatakan minat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya