TURIN: Bintang tengah Juventus, Aaron Ramsey menyifatkan pasukan lebih selesa dan seronok di bawah kendalian Andrea Pirlo berbanding musim lalu ketika Maurizio Sarri bertindak sebagai ketua jurulatih.
Ramsey yang menikmati aksi terbaiknya bersama Juve musim ini apabila telah mencipta enam peluang termasuk bantuan gol buat Cristiano Ronaldo.
“Kami memiliki jurulatih, staf, idea yang baru dan pemain-pemain turut terlibat dalam setiap aspek.
“Saya berasakan kami lebih berseronok berbanding tahun lalu walaupun sesi latihan agak sukar tetapi semua menikmatinya,” katanya.
Dalam pada itu, Pirlo, 41, bakal berdepan cabaran lebih sukar apabila bertemu Roma yang diibaratkan harimau terluka selepas lawan mereka pada aksi pertama liga, Verona diberikan kemenangan percuma kerana kelab itu didapati menyenaraikan pemain yang tidak didaftarkan.
Bekas bintang Itali itu menikmati perlawanan pertama dengan permulaan sempurna selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Sampdoria, Selasa lalu dalam misi Juventus memburu gelaran liga buat kali ke-10 berturut-turut musim ini.
Ramsey percaya pasukannya akan mempamerkan aksi lebih baik menjelang aksi bertemu Roma dengan jentera serangan berfungsi dengan baik menerusi Dejan Kulusevski dan Leonardo Bonucci yang telah menemui sasaran buat Juventus dalam aksi pembukaan.
“Kami bermula baik tetapi perlu meningkatkan lagi mutu persembahan,” katanya. “Dalam pasukan yang memiliki barisan pemain ternama, kami boleh bermain dengan misi untuk mencapai saaran.”
Juventus minggu ini akan diperkuatkan semula dengan kehadiran penyerang Sepanyol, Alvaro Morata yang menjadi rakan sepasukan Pirlo pada 2014 hingga 2016. – AGENSI