LIVERPOOL: Pemain gantian, Diogo Jota meledak gol dalam penampilan pertama bersama Liverpool untuk membantu Reds menumpaskan Arsenal 3-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Alexandre Lacazette bagaimanapun terlebih dulu mengejutkan tuan rumah apabila menghukum kesilapan Andy Robertson untuk Arsenal mendahului 1-0 pada minit-25.
Jaringan itu tidak mematahkan moral Liverpool, sebaliknya Reds bersemangat untuk mencari gol penyamaan.
Sadio Mane tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 apabila menolak bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Bernd Leno ketika menyelamatkan rembatan Mohamed Salah, tiga minit berselang.
Robertson kemudian menebus kesilapan awalnya dengan meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-34.
Ketika permainan berbaki dua minit untuk tamat, Jota melengkapkan gol ketiga Reds di Anfield apabila mendada bola sebelum melepaskan rembatan menewaskan Leno.
Liverpool kini berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran liga apabila mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Anak-anak buah Jurgen Klopp berkongsi sembilan mata bersama pendahulu, Leicester City dan pasukan tangga ketiga, Everton.