ROME: Penyerang berpengalaman, Zlatan Ibrahimovic akan terus bersama AC Milan musim depan selepas menandatangani sambungan kontrak setahun bersama kelab itu.
Perkara tersebut diumumkan gergasi Itali itu, hari ini.
Bekas pemain Sweden berusia 39 tahun itu kembali menyertai Milan pada Januari dan akan kekal di San Siro hingga hujung bulan Jun 2021.
“Hari ini, Zlatan Ibrahimovic kembali menyertai sesi latihan pertamanya musim ini bersama rakan sepasukan dan jurulatih Stefano Pioli di Milanello Sports Center,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Menurut laporan media, Ibrahimovic bersetuju menerima gaji tahunan berjumlah 7 juta euro (RM34.81 juta) bersama Milan.
Bekas pemain Manchester United dan Barcelona itu membantu skuad kendalian Pioli bangkit daripada permulaan buruk pada pusingan pertama musim lalu dengan menjaringkan 11 gol dalam 20 perlawanan semua kejohanan dan membantu juara Eropah tujuh kali itu layak ke Liga Europa.
Hujung minggu lalu, Ibrahimovic berkata dia mahu membantu kelab itu kembali ke tempat sepatutnya.
“Selama enam bulan kami lakukan perkara yang hebat tetapi kami tidak menang apa-apa. Kami mesti meneruskannya dan lakukan perkara sama,” katanya dalam satu rakaman video. – AGENSI