LONDON: Selepas dikritik kerana permulaan perlahan dalam Liga Perdana Inggeris, Kai Havertz akhirnya mula menunjukkan taring dengan meledak hatrik ketika membantu Chelsea membelasah Barnsley 6-0, sekali gus mara ke pusingan keempat Pala Liga.
Pemain berusia 21 tahun itu agak bergelut dalam dua aksi pertama liga sejak berpindah dari Bayer Leverkusen.
Havertz salah seorang daripada tiga pemain yang masih dikekalkan dalam skuad Blues selepas mereka tumpas 0-2 kepada Liverpool, Ahad lalu.
Keputusan jurulatih, Frank Lampard untuk mengekalkan pemain itu membuahkan hasil selepas Havertz meledak hatrik pertamanya di peringkat senior.
“Saya sangat gembira dengan prestasi Kai, aksi seperti inilah yang kami mahukan daripadanya.
“Dia tidak beraksi ketika pramusim, jadi saya mahu memberi lebih masa buatnya di atas padang bersama rakan sepasukan. Belajar bagaimana kami bermain dan menekan lawan. Ia malam yang hebat buat Kai,” kata Lampard.
Dalam perlawanan itu, Tammy Abraham membuka tirai jaringan buat Chelsea apabila meledak gol pada minit ke-19 sebelum Harvertz meraih gol pertamanya buat Blues sembilan minit kemudian.
Ross Barkley yang turut disenaraikan dalam kesebelasan utama meletakkan Chelsea terus selesa di depan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-49 sebelum Harvetz melengkapkan hatriknya menerusi jaringan minit ke-55 dan 65.
Olivier Giroud melengkapkan kemenangan Chelsea dengan gol keenam pada minit ke-85.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan tiga gol tetapi ini hanyalah permulaan. Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol selepas ini,” kata Harvertz.