LONDON: Chelsea melengkapkan perbelanjaan mewah mereka apabila menandatangani bintang tengah Jerman, Kai Havertz hari ini.
Setakat ini, The Blues sudah berbelanja 200 juta pound (RM1.1 bilion) selepas membayar sekitar 71 juta pound (RM391.1 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu dari Bayer Leverkusen.
Ia membuktikan keseriusan kelab London itu mahu mencabar Liverpool dan Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris musim depan yang bermula 15 September ini.
Havertz yang boleh beraksi di posisi tengah atau serangan adalah pembelian mewah terbaharu Chelsea selepas Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Thiago Silva.
“Saya gembira dan bangga berada di sini.
“Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dapat beraksi untuk kelab besar seperti Chelsea dan saya tidak sabar hendak bertemu pemain-pemain serta jurulatih,” kata Havertz.
Perpindahan Havertz mengatasi rekod Werner sebagai pemain termahal Jerman yang dibeli Chelsea ketika menyertai kelab itu pada harga 53 juta euro (RM260.2 juta), Jun lalu.
Havertz turut mengatasi bekas penyerang RB Leipzig itu sebagai pemain paling muda membuat 50 dan kemudian 100 penampilan dalam Bundesliga.
Dia sebelum itu turut menjadi pemain termuda Bayer beraksi dalam Liga Jerman selepas membuat kemunculan sulung pada usia 17 tahun.
Havertz meledak 46 gol dalam 150 perlawanan kompetitif buat Bayer, termasuk 18 gol musim lalu.
Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tangga keempat dengan ketinggalan 33 mata di belakang juara, Liverpool. – AFP