MUGELLO, Itali: Lewis Hamilton menghampiri rekod tujuh kejuaraan Formula Satu (F1) dunia selepas menakluk Grand Prix (GP) Tuscan semalam.
Hamilton, satu-satunya pemandu berkulit hitam dalam F1 turut memberi mesej jelas mengenai isu perkauman dan keadilan.
Selepas memakai baju kempen Black Lives Matter dalam lapan perlumbaan sebelum ini, dia bertukar kepada mesej ‘Tangkap polis yang membunuh Breonna Taylor’.
Taylor, 26, pegawai perubatan berbangsa Afrika-Amerika yang ditembak mati di Kentucky pada Mac lalu.
“Ia sedikit membingungkan. Ia seperti tiga perlumbaan dalam sehari… amat sukar hari ini.
“Litar ini luar biasa dan kepanasannya serta memastikan Valtteri (Bottas) di belakang, yang cukup pantas sepanjang hujung minggu, bukan perkara mudah.
“Saya berada di belakangnya pada permulaan. Dengan perlumbaan dimulakan semula, tumpuan penuh diperlukan ketika itu. Ia amat sukar,” kata Hamilton.
Selepas mendahului dari awal perlumbaan, rakan sepasukan Hamilton, Bottas seakan mampu memenangi perlumbaan untuk mencabar kejuaraan, tetapi dua kali perlumbaan terhenti menyebabkan dia ketinggalan. – AFP