KUALA LUMPUR: Biarpun gembira berjaya menyesuaikan diri dengan cepat bersama KV Kortrijk dan kehidupan baharu di Belgium, namun Luqman Hakim Shamsudin tidak mahu terlalu teruja dan fokusnya kini adalah memburu tempat beraksi dalam saingan sebenar liga utama.
Kelmarin, penyerang remaja negara itu membuktikan kehadirannya di bumi Eropah bukan atas ‘ihsan’ pemilik KVK Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan sebaliknya kerana kualiti dan bakat selepas meledak gol dalam aksi sulung bersama skuad senior.
Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, namun gol itu diharap menutup mulut segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuannya sebelum dia terbang ke Belgium.
Dalam aksi tersebut, penyerang berusia 18 tahun itu meledak satu gol untuk membantu kelabnya menewaskan BX Brussel 2-1.
Ia gol keduanya selepas menyertai kelab itu bulan lalu, yang mana Luqman telah membuka akaun jaringan ketika beraksi bersama skuad B-21 KVK ketika tewas 1-4 kepada KRC Gent.
“Alhamdulillah dapat menjaringkan gol tetapi saya tak boleh cepat lupa diri kerana mak selalu berpesan, jangan mudah dabik dada dalam apa-apa perkara.
“Sebagai pemain bola sepak sudah tentu saya sentiasa cuba berikan yang terbaik kepada pasukan, malah saya bertuah memiliki rakan-rakan yang bagus.
“Fokus saya sekarang adalah merebut tempat dalam kesebelasan utama pada perlawanan liga yang akan datang,” katanya.
KV Kortrijk yang kini menduduki tangga keempat Divisyen A Belgium akan menentang Royal Excel Mouscron dalam perlawanan di tempat sendiri, Isnin depan.
Selepas Luqman menunjukkan perkembangan positif pada bulan pertama di Belgium, peminat kini tidak sabar untuk melihat pemain kelahiran Kota Bharu itu membuat penampilan sulung bersama skuad senior Kortrijk dalam saingan utama.
“Perlawanan pertama sangat bagus walaupun sukar untuk saya kerana ini kali pertama bagi saya beraksi di Eropah.
“Setiap pemain push, push, push dan bagus untuk saya belajar (gaya) permainan di Eropah. Saya sangat gembira menjaringkan gol pertama ini untuk skuad utama… saya amat gembira.
“Sukar di sini untuk saya. Sangat susah. Jadi, saya perlu berusaha keras dan tidak berputus asa,” katanya menerusi video temubual yang dikongsikan kelabnya di laman rasmi Twitter KVK.
? WHAT A DEBUT! ?
First game, first goal for Luqman Hakim! ?
?⚪️ #COYR pic.twitter.com/b3lZLHJhyg
— KV Kortrijk (@kvkofficieel) September 5, 2020
Luqman juga mengakui bernasib baik kerana mempunyai rakan sepasukan yang banyak membantunya serta sering memberi semangat ketika di dalam dan di luar padang.
“Kami sering berkomunikasi dan mereka banyak membantu. Saya kena tingkatkan lagi permainan selepas ini kerana bukan mudah dapat tempat,” katanya yang mengikat kontrak selama lima musim bersama KVK.
Dengan aksi konsisten yang dipamerkan produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari itu, tidak mustahil dia mampu memikat kepercayaan pengurus kelab Yves Vanderhaeghe untuk disenaraikan dalam saingan divisyen satu Belgium itu.