COPENHAGEN: The Three Lions melakukan eksperimen, malangnya ia tidak menjadi ketika mereka seri 0-0 dalam aksi hambar Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi.
Pengendali England, Gareth Southgate ibarat menukar petak empat segi menjadi bulat apabila terlalu ramai pemain terkeluar dari posisi dan formasi jelas serba tidak kena.
Menggunakan formasi 3-4-3 dan memasukkan beberapa muka baharu dalam kesebelasan utama, tiada kreativiti atau percubaan menarik ditunjukkan di Stadium Parken.
“Banyak yang kami pelajari malam ini. Kami mencuba sistem baharu dan saya yakin ia akan bertambah baik.
“Kami sepatutnya mampu menyerang lebih baik pada separuh masa pertama tetapi secara keseluruhan England mengawal permainan.
“Pada babak kedua, kami mula mempercepatkan permainan dengan beberapa perubahan. Kemasukan Mason (Mount) di bahagian tengah membuatkan kami lebih cepat berfikir.
“Tiga pemain pertahanan kami juga sangat mantap hari ini. Conor Coady amat baik dan Eric Dier beraksi dalam dua perlawanan yang bagus,” kata Southgate.
Muka baharu, Kalvin Philipps dan Coady diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala Ainsley-Maitland Niles serta Jack Grealish masuk sebagai gantian.
Eksperimen Southgate meletakkan tiga pertahanan tidak memberi impak positif, manakala di bahagian depan, Harry Kane dan Raheem Sterling agak tenggelam.
Pemain buruan Manchester United, Jadon Sancho juga gagal menyerlah.
Selepas dua perlawanan, England menduduki tangga kedua Kumpulan 2 dengan empat mata, dua mata di belakang Belgium. – AGENSI