LONDON: Pep Guardiola memuji pengaruh Kevin De Bruyne pada waktu kecederaan selepas perancang utama Belgium itu memastikan Manchester City menumpaskan Wolverhampton 3-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Guardiola tidak menurunkan tujuh pemain senior di Stadium Molineux tetapi masih mampu mempamer aksi cemerlang menumpaskan lawan yang pernah mengalahkan mereka dua kali musim lalu.
De Bruyne memainkan peranan penting dalam perlawanan itu dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-20 sebelum terlibat dengan dua lagi jaringan yang disumbangkan Phil Foden dan Gabriel Jesus.
“Sejak kami kembali dari rehat antarabangsa, dia mempamerkan komitmen amat tinggi dalam setiap sesi latihan.
“Kevin sentiasa menjadi pemain penting buat kami, namun hari ini dia sangat..sangat penting.
“Dia mengambil sepakan penalti dengan amat hebat dan menyempurnakannya.
“Kemudian dia melakukan beberapa bantuan dengan cara lariannya.
“Dia bermain dengan amat baik, begitu juga seluruh pasukan ini.
“Dia gemar bermain bola sepak, dia langsung tidak berasa tertekan dan suka bersaing dengan standard yang tinggi,” kata Guardiola.
Jaringan saguhati pasukan tuan rumah pula diperoleh menerusi Raul Jimenez pada minit ke-78. – AGENSI