IPOH: Ketua Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt menyalahkan keadaan padang dan mutu pengadilan sebagai punca kekalahan 0-1 pasukannya kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini semalam.
Menurutnya, rumput panjang dan padang lembut telah menjejas persembahan pasukannya, selain mutu pengadil juga teruk.
“Saya sudah menjadi jurulatih selama 20 tahun tetapi tak pernah tengok mutu pengadilan sebegini buruk, ” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.
Bernhardt kecewa dengan kegagalan anak buahnya mengutip mata penuh kerana Perak bukan pasukan yang kuat.
Menurutnya, pasukannya bertemu pasukan yang lemah pada aksi semalam berbanding pencabar sebelum ini iaitu Pahang.
Katanya, pemainnya mencipta peluang menjaringkan gol tetapi malangnya gagal menemui penyudah.
“Saya mengharapkan mata penuh di Ipoh selepas kejayaan ke atas Felda United dan Pahang. Keputusan ini menyukarkan kami dalam usaha kekal dalam Liga Super 2021.
“Kami tidak sepatutnya seri perlawanan ini” katanya.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan skuad B-23 berasal dari Jerman itu, misi UiTM ialah kekal dalam Liga Super musim akan datang dan berharap anak buahnya bangkit dalam baki empat perlawanan mereka.
Pasukan itu akan bertemu Terengganu di gelanggang sendiri dalam perlawanan selepas ini.