KUALA TERENGGANU: Azroy Hakeem Anuar menyempurnakan misinya di Litar Permotoran Terengganu apabila menjuarai Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di sini, hari ini.
Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing itu mempertahankan kejuaraan kelas CP150 yang dimenangi di litar sama tahun lalu dengan catatan masa 16 minit, 40.336 saat.
Kemenangan itu membolehkan Azroy mengukuhkan kedudukan keseluruhan dengan 81 mata, 15 mata meninggalkan pelumba HI REV SCK Honda Racing, Md. Helmi Azman
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan terbaik hari ini. Keadaan jentera juga mantap selain perasaan positif untuk memimpin perlumbaan.
“Semuanya berjalan lancar dan saya gembira dan sangat berterima kasih kepada seluruh kru pasukan yang telah bekerja keras untuk kejayaan ini,” kata Azroy.
Tempat kedua milik pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md. Aiman Tahiruddin dengan catatan 16:41.346s, manakala Helmi di tempat ketiga.
Sementara itu, kelas CP126 menyaksikan kebangkitan juara keseluruhan kategori Wira musim lalu, Md. Aliff Danial Md Asri yang menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.
Aliff muncul juara kelas yang baharu diperkenalkan musim ini dengan catatan masa 13:06.521s.
Tempat kedua dan ketiga masing-masingnya milik Md. Adib Rosley (IPONE Yamaha YYPANG Racing Team) dan Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team).
Sementara itu, Rahimi Nabil Razu tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tampil hebat untuk muncul juara perlumbaan akhir kelas Wira.
Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing itu memenangi perlumbaan dengan catatan masa 10:47.161s.
Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Boss Susu Motorsports, Md Haziq Rosmaza diikuti Md Aeiman Hafidz Shahril daripada ONEXOX SAG Team ketiga.