LONDON: Mikel Arteta berkata, dia tidak terlalu kecewa selepas tewas 3-1 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi memandangkan anak-anak buahnya telah mencapai standard yang diperlukan.
Alexandre Lacazette meletakkan skuad Gunners di depan dalam saingan di Anfield itu setelah memanfaatkan kesilapan Andy Robertson, namun pendahuluan mereka dibayar dengan kekalahan.
Liverpool bagaimanapun bangkit tiga minit kemudian menerusi jaringan Sadio Mane (m-28), Robertson (m-34) dan Diogo Jota (m-88).
Pemain kebangsaan Portugal, Jota meledak gol sulung dalam penampilan pertamanya di Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool.
Arteta secara jujur dalam temubual selepas perlawanan mengakui, Liverpool telah membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri.
“Kami pada mulanya memegang permainan besar ini. Realitinya, Liverpool lebih unggul daripada kami dalam pelbagai aspek. Anda boleh lihat dalam beberapa fasa.
“Bagaimanapun saya sangat gembira dengan cara pasukan bersaing dan saling mempercayai. Inilah standard yang kami perlu capai.
“Kami menempuh perjalanan yang berbeza. Mereka telah bersama lima tahun, manakala kami baharu meniti beberapa bulan,” kata Arteta.
Sekalipun tidak terlalu kecewa dengan persembahan keseluruhan, namun Arteta mengatakan ada banyak ruang untuk pasukannya perbaiki berdasarkan aksi semalam.- AGENSI