LONDON: Arsenal memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan bergaya apabila membenam Fulham 3-0 sebentar tadi.
Alexandre Lacazette memberi permulaan sempurna buat Gunners apabila meledak gol pembukaan seawal minit kelapan.
Pemain baharu, Gabriel menggandakan kedudukan pada minit ke-49 sebelum Pierre-Emerick Aubameyang melengkapkan kemenangan 3-0 Arsenal di Craven Cottage, minit ke-57.
“(Jurulatih) Mikel Arteta mahu kami bermain sempurna, jadi kami bekerja keras untuk memenuhi permintaannya.
“Kami memasang impian besar dan saya mahu membantu pasukan berada di tempat teratas.
“Kami mahu memperbaiki semua aspek permainan dalam setiap perlawanan,” kata Lacazette selepas perlawanan.
Ketika ditanya peluang Gunners untuk meraih kedudukan empat terbaik musim ini, penyerang Perancis itu berkata: “Saya tidak pasti apakah kami bersedia mencabar empat teratas.
“Bagaimanapun kami bekerja keras dan berusaha mencapainya.” – AGENSI