KUALA LUMPUR: Terkesan dengan pandemik Covid-19, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini memutuskan untuk menunda semua kejohanan anjuran badan itu sepanjang 2020.
Perkara itu diputuskan secara sebulat secara dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan secara dalam talian.
Demi kesihatan sejagat, mesyuarat memutuskan Piala AFC dan Kelab Futsal AFC 2020 dibatalkan.
Kejuaraan AFC Bawah 19 tahun dan Bawah 16 tahun akan ditunda ke awal tahun 2021 manakala Kejohanan Futsal AFC yang dijadualkan berlangsung di Kuwait, November ini ditunda ke 2 Disember 2020.
“Demi keselamatan semua pihak kita memutuskan untuk mengambil langkah-langkah sedemikian.
“Ini bersandarkan kepada senario terkini bahawa rantaian Covid-19 ini belum putus sepenuhnya.
“Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama namun AFC akan terus bersama dengan ahli gabungan terutama negara yang terjejas teruk dengan memberi sokongan padu serta bantuan kewangan yang diperlukan, ” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menghadiri mesyuarat tersebut.
Mesyuarat secara dalam talian itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut membincangkan mengenai pentadbiran, kewangan dan perundangan AFC.
“Kita perlu saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama,” ujarnya.