KUALA LUMPUR: Pemotongan tiga mata pada Mac lalu adalah ‘rahsia’ di sebalik kebangkitan Melaka United yang melakar dua kemenangan berturut-turut sejak saingan Liga Super bersambung semula.
Tonggak Melaka, Razman Roslan berkata, biarpun kecewa dikenakan hukuman sedemikian, namun dia tidak menganggap perkara tersebut sebagai pengakhiran.
Katanya, sejak daripada itu, Melaka dapat bernafas kembali dan keluar daripada zon penyingkiran, di samping dibantu beberapa perubahan drastik diterapkan pengendali Zainal Abidin Hassan.
“Mungkin ada orang akan cakap kalau tiga mata tidak dipotong tempoh hari, Melaka kini sudah menduduki tempat kedua namun tidak tentu juga kerana saya melihat ada perkara positif kepada pemain.
“Apa yang saya nampak, pemain semakin meningkatkan lagi fokus mereka dan tidak bersikap sambil lewa sejak pemotongan tersebut dan mereka letakkan satu keazaman tinggi yang mereka mahu keluar daripada kedudukan dua terbawah.
“Ini antara punca di sebalik kenapa kami mampu bermain baik dalam dua perlawanan sebelum ini dan saya rasa gembira kerana Melaka kini sudah mampu berada di pertengahan liga,” kata Razman kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), semalam.
Melaka telah dikenakan pemotongan tiga mata pada 20 Mac lalu kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada penghujung Februari 2020.
Sejak Liga Super bersambung semula 28 Ogos lalu, Melaka telah menewaskan Perak dan Terengganu masing-masing dengan jaringan 1-0, sekali gus membolehkan mereka menduduki tangga kelima.
Mengulas mengenai perubahan permainan pasukan, Razman berkata, gaya permainan bertahan seperti yang diterapkan Zainal dalam dua perlawanan terakhir nyata membuahkan hasil.
“Saya tidak nafikan kami menekankan corak permainan bertahan apabila berdepan dua pasukan ini (Perak dan Terengganu) kerana semua orang tahu kami pasukan underdog.
“Semangat pemain luar biasa apabila masing-masing bertindak sebagai satu unit selepas diserang lawan dan ini turut membantu kenapa gawang kami berjaya tidak dibolosi dalam dua perlawanan lepas,” katanya.
Melaka bakal membuat perhitungan dengan Selangor di Stadium UiTM Shah Alam, Jumaat ini.