WALAUPUN negara masih dilanda pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang UDA Holdings Berhad (UDA) untuk menganjurkan kejohanan golf tahunannya di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.
Kejohanan yang berlangsung dalam semangat kesukanan itu disertai 60 pemain terdiri daripada wakil dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), agensi di bawah organisasi tersebut dan wakill-wakil media.
Menurut Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias, kejohanan golf kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, namun semangat kesukanan para pemain amat memberangsangkan.
“Kita faham bahawa negara kita sedang berhadapan dengan isu pandemik Covid-19. Namun semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta menjadi tunjang utama kejayaan kejohanan ini.
“Apa yang penting dalam kita seronok bersukan, etika serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan harus kita dipatuhi dan saya lihat semua peserta akur arahan,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Turut menyertai kejohanan itu ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Khailany.
Dalam kejohanan tersebut, Pengerusi UDA dinobatkan sebagai juara bagi kategori Ahli, manakala Mahyuddin Zaini dari Majlis Perbandaran Kajang muncul juara bagi kategori jemputan.
UDA yang bakal mencecah 50 tahun penubuhannya tahun depan turut mengadakan cabutan bertuah kepada pemain-pemain yang gagal menaiki podium. – UTUSAN