SEPANG: Md. Helmi Azman layak digelar ‘Raja Litar Sepang’ apabila menakluk Litar Antarabangsa Sepang dengan memenangi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hari ini.
Helmi yang meraih kemenangan pertama musim ini dalam perlumbaan pembuka tirai pertengahan Julai lalu, sekali lagi membuktikan kemampuannya meskipun diberi tentangan sengit oleh pendahulu keseluruhan kelas perdana CP150, Azroy Hakeem Anuar.
Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu melengkapkan 11 pusingan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 14 minit 15.941 saat (s), hanya 0.037s di depan Azroy yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.
Pemenang Pusingan 2 di Litar Tangkak, Johor, Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) yang bermula dari petak utama berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 14:15.983s.
“Saya ke sini dengan sasaran menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Namun pada sesi kelayakan dan latihan bebas, ia agak sukar untuk saya melakukan catatan sepusingan.
“Jadi, saya perlu cuba sehabis baik menamatkan saingan dan elak daripada melakukan kesilapan dan jatuh ketika perlumbaan,” kata Md. Helmi yang kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 50 mata.
Sementara itu, Azroy yang sedang mendahului carta kelas perdana dengan 56 mata berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai gelaran keseluruhan dan hanya mahu memberi tumpuan dalam setiap perlumbaan.
“Saya mahu belajar daripada pengalaman. Ini kerana disebabkan terlalu memberi tumpuan kepada gelaran keseluruhan sebelum ini, saya banyak melakukan kesilapan,” katanya.