KOTA BHARU: Pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham muncul individu terbaharu berminat membeli pasukan bola sepak Kelantan.
Norizam yang juga usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel dari selatan tanah air meletakkan lima syarat untuk dipenuhi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum memulakan rundingan.
Syarat tersebut adalah menunjukkan akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).
“Insya-Allah, kewangan yang saya miliki ketika ini mampu menyelamatkan Kelantan.
“Sukan ini jiwa saya. Lagipun saya mempunyai sebuah pasukan (Zamsaham Hotel FC) yang menduduki tempat kedua daripada 26 pesaing dalam Liga Komuniti Selatan di Johor.
“Saya memilih Kelantan kerana mereka ada penyokong (akar umbi) yang kuat, jadi tidak salah saya tawar diri dengan tujuan memastikan pasukan terus bertahan dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Norizam berkata, sebagai pelabur beliau memerlukan maklumat tersebut bagi membolehkan perancangan strategik dilakukan bagi memastikan The Red Warriors (TRW) mampu bertahan.
Norizam sebelum itu menyuarakan hasrat mengambil alih Kelantan dalam status di Facebooknya.
Status itu kemudian tular apabila dia dikongsi peminat TRW dalam WhatsApp dan Facebook.
Kata Norizam, beliau sudah dihubungi Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid bagi membincangkan tentang pengambil alihan pasukan.
Norizam individu kedua menyuarakan hasrat memiliki Kelantan selepas Wan Ahmad Kamal Wan Napi.
Rundingan Wan Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagaimanapun menemui jalan buntu selepas beliau tidak bersetuju dengan syarat KAFA meminta bayaran royalti RM1 juta setahun.