KOTA BHARU: Pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengesahkan pertemuan dengan barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan diadakan hari ini.
Norizam ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, pertemuan itu dijangka tertumpu mengenai hasratnya membeli The Red Warriors.
“Itu sahaja yang saya boleh kongsikan setakat ini.
“Apa pun tunggu perkembangan terkini dari saya untuk tahu cerita selanjutnya.
“Saya memang serius hendak ambil alih pasukan Kelantan,” katanya.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, Norizam menjadi individu terbaharu berminat membeli pasukan bola sepak Kelantan.
Beliau yang juga usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel dari selatan tanah air meletakkan lima syarat untuk dipenuhi KAFA sebelum memulakan rundingan.
Syarat tersebut adalah menunjukkan akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).
Terdahulu, bapa pemain remaja sensasi negara, Wan Kuzri dan Wan Kuzain iaitu Wan Ahmad Kamal Wan Napi membatalkan hasrat membeli Kelantan.
Faktor jarak (tinggal di Amerika Syarikat) antara yang mendorong keputusan tersebut, selain kesan daripada pandemik Covid-19.