LONDON: Frank Lampard sedia menerima apa jua keputusan Willian berhubung masa depannya, sama ada mahu kekal bersama Chelsea atau berhijrah ke pasukan lain.
Chelsea menawarkan penyambungan kontrak dua tahun buat penyerang Brazil itu, namun dia berhati-hati untuk menurunkan tanda tangan kecuali kontrak yang ditawarkan adalah tiga tahun.
Ejen Willian, Kia Joorabchian secara terbuka mengakui pemain berusia 31 tahun itu mempunyai tawaran daripada lima kelab, termasuk dua kelab London, Arsenal dan Tottenham.
Willian juga menerima tawaran daripada pasukan Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Inter Miami.
Lampard tidak menurunkan pemain itu ketika Chelsea tewas 1-2 kepada Arsenal dalam final Piala FA kelmarin akibat kecederaan, dan dia mengakui, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk meyakinkan Willian agar kekal di Stamford Bridge.
“Itu pilihannya, saya tidak ada jawapan. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Willian, namun saya tidak tahu apa keputusan sebenarnya.
“Jika ia (perpindahan) yang berlaku selepas ini seperti yang dia katakan, sudah tentu saya gembira bersama Willian.
“Dia cukup menakjubkan musim ini menerusi persembahannya dan juga sikap ketika bersama pasukan.
“Bagaimanapun ini pilihannya dan saya hormat apa jua keputusan. Dia telah berkhidmat dengan cemerlang bersama Chelsea dan jika dia berhasrat meninggalkan kami, hidup harus diteruskan,” kata Lampard. – AGENSI