LISBON: Dietmar Hamann memberi amaran kepada Bayern Munich agar berwaspada bukan sahaja dengan kehebatan Neymar, malah ‘drama’ penyerang Brazil itu apabila juara Jerman tersebut bertemu Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga-Juara esok.
Hamann percaya, pemain Bayern mampu menangani drama Neymar biarpun ia kadangkala menjengkelkan. Namun apa yang dibimbangi, benteng mereka berdepan kesukaran mengekang bintang PSG itu.
Neymar, 28, membentuk kombinasi bahaya bersama Kylian Mbappe dan menjadi sandaran PSG untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah.
“Perkara paling saya tidak suka tentang PSG adalah Neymar. Bukan permainannya tetapi sikapnya. Bayern kena membiasakan diri.
“Mereka juga kena halang Neymar memasuki kawasan bahaya seperti kotak penalti kerana pemain Brazil ini sudah biasa bermain di pentas besar, dia cukup berpengalaman.
“Mbappe seorang lagi pemain perlu dikekang sejak awal. Jangan dilupa juga Angel Di Maria, dia mampu membawa perbezaan,” kata legenda Bayern dan Jerman itu kepada Sky Sport.
Neymar sering dikritik kerana gemar menunjukkan reaksi berlebihan apabila dikasari pemain lawan.
Bayern yang turun selaku juara lima kali menjadi pilihan untuk muncul juara, apatah lagi selepas mempamer aksi memberangsangkan dalam perjalanan ke final, termasuk membelasah Barcelona 8-2 di suku akhir.
Begitupun, PSG optimis mereka berada pada landasan untuk memahat sejarah merangkul kejuaraan elit Eropah buat kali pertama. – AGENSI
INFO MENARIK
PSG
Formasi
4-3-3
Pencapaian terbaik
Juara Piala Di Antara Juara 1991
Barisan kemungkinan
Sergio Rico; Thilo Kehrer, Thiago Silva, Presnel Kimpembe, Juan Bernat; Ander Herrera, Marquinhos, Leandro Paredes; Angel Di Maria, Neymar, Kylian Mbappe
Jurulatih
Thomas Tuchel
BAYERN MUNICH
Formasi
4-2-3-1
Pencapaian terbaik
Juara Liga Juara-Juara (1973-1974, 1974-1975, 19751976, 2000-2001, 2012-2013)
Barisan kemungkinan
Manuel Neuer; Joshua Kimmich, Niklas Sule, David Alaba, Alphonso Davies; Leon Goretzka, Thiago Alcantara; Serge Gnabry, Thomas Mueller, Ivan Perisic; Robert Lewandowski