KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan berlatih bersama skuad Malaysia Bawah-19 (B-19), kehebatan sebenar Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal akan diuji buat kali pertama hari ini.
Skuad bimbingan Brad Maloney akan berdepan pasukan senior Liga Super, Petaling Jaya (PJ) FC.
Mereka kemudian menentang bekas pasukan Luqman Hakim Shamsudin, Selangor II dalam satu lagi aksi persahabatan, Rabu depan.
“Saya sudah melihat aksi dua pasukan ini dan mereka memiliki ramai pemain berkualiti.
“Ini akan memberi ujian terbaik kepada pemain kami dan melihat sejauh mana mereka mampu bertahan.
“PJ City dan Selangor II akan menjadi lawan sukar. Semua pemain perlu bekerja keras membuktikan kemampuan,” kata Maloney selepas latihan di Kompleks Sukan PKNS, semalam.
Kata jurulatih dari Australia itu, dia mahu melihat sejauh mana pemainnya mempelajari segala ilmu yang diberikan sepanjang sesi latihan untuk diterjemahkan dalam padang.
“Kita tahu pertandingan peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lebih sukar, jadi pemain kena biasakan diri dengan perlawanan sebenar,” katanya.
Pasukan Malaysia kini dalam persiapan menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, 14-30 Oktober ini.
Sementara itu, Luqman menjalani latihan terakhirnya bersama pasukan Malaysia B-19 semalam sebelum berlepas ke Belgium, awal pagi Khamis.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya buat Luqman dan harap dia dapat memberi aksi terbaik di sana bagi mengharumkan nama Malaysia,” ujarnya.
Pemain berusia 19 tahun itu akan beraksi buat kelab liga utama Belgium, KV Kortrijk.