SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerima penajaan RM120,000 setahun daripada syarikat peneraju industri animasi negara, Les’ Copaque Production bagi program pembangunan bola sepak akar umbi Selangor yang dinamakan sebagai FAS Soccer School.
Les’ Copaque Production yang cukup terkenal dengan animasi pasangan kembar, Upin & Ipin itu buat julung kalinya membuat penajaan dalam arena bola sepak negara.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon tidak mendedahkan tempoh penjanjian penajaan yang ditandatangani namun menjelaskan ia bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program tersebut.
Beliau tidak menolak kerjasama ini akan berjalan dalam tempoh yang panjang kerana membabitkan program pembangunan yang memerlukan tempoh lebih lama untuk menuai hasil.
“Les’ Copaque bersetuju menaja RM120,000 setahun bagi tahun permulaan program ini yang dijangka bermula pada September. Jika program ini berjalan lancar dan lebih banyak penyertaan daripada sekolah lain pihak penaja akan mempertimbangkan semula jumlah tajaan.
“Kita mempunyai beberapa KPI yang perlu dicapai dan telah dipersetujui bersama dengan pihak Les’ Copaque. Untuk tahun pertama saya rasa jumlah ini sangat mencukupi bagi program pembangunan akar umbi.
“Program ini menitik beratkan pencarian pemain berbakat dan untuk melihatkan hasilnya mungkin mengambil masa lebih panjang.
“Saya percaya kami mampu bekerjasama untuk masa jangka yang panjang,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian FAS bersama Les’ Copaque di sini hari ini.
Turut hadir Presiden FAS, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Ketua Pengarah Kandungan Les’ Copaque, Ainon Ariff.
FAS Soccer School yang baru dilancarkan tahun lalu sudah disertai oleh enam buah sekolah di seluruh Selangor dan menyaksikan lebih 500 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun mendapat tunjuk ajar daripada 24 jurulatih.