KUALA LUMPUR: Tiga persatuan yang sebelum ini langsung tidak bergerak akhirnya sudah memulakan proses penswastaan pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mendedahkan pasukan tersebut, namun Mingguan Malaysia difahamkan dua daripadanya dari Liga Super manakala satu Liga Perdana.
UKM FC, antara yang belum melengkapkan proses pemisahan FA (persatuan bola sepak) ke FC (kelab) memberi jaminan akan memenuhi syarat dan menghantar dokumen lengkap kepada FAM sebelum tarikh akhir 30 September.
“Kita telah bergerak dan menyediakan dokumen yang diminta untuk proses penswastaan, jadi tidak timbul isu kami tidak bergerak langsung.
“Kita akan jumpa MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan FAM Selasa depan untuk meminta panduan dan berbincang dengan lebih lanjut.
“Semua dokumen sudah ada cuma kita masih meneliti dan melengkapkannya. Saya yakin kita mampu menyelesaikan proses ini sebelum tarikh akhir,” kata Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd. Fairus Shafie kepada Mingguan Malaysia semalam.
Ketika ditanya mengenai individu yang berminat membeli UKM FC, Fairus berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan dengan tiga syarikat.
“Kita sudah adakan rundingan dengan tiga pihak, termasuk sebuah syarikat yang berpangkalan di luar negara. Ia dalam proses perbincangan,” ujarnya.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini menegaskan, Liga M musim depan mungkin kehilangan beberapa ‘gergasi’ dan bersedia dijalankan dengan 10 pasukan.
Kesabaran badan induk itu terhadap persatuan yang masih berdegil dalam melengkapkan pelesenan kelab dan penswastaan sudah tiba di kemuncak.