The Red Warriors kini Kelantan FC - Utusan Malaysia

The Red Warriors kini Kelantan FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan bagi tujuan penubuhan Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) selaras dengan penswastaan pasukan 2021.

Penasihat Undang-Undang KAFA, Alawi Mohd. Rashid berkata, kelulusan penubuhan Kelantan FC akan dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan.

Menurutnya, KAFA juga telah menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Team Red Warriors Sdn. Bhd. yang akan diberikan hak mengendali dan menguruskan Kelantan FC.

“Syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd yang menguruskan Kelantan FC akan bertanggungjawab sepenuhnya mencari pemain dan jurulatih termasuklah urusan pembayaran gaji.

“Bukan itu sahaja segala kos pengurusan pasukan, perlawanan dan sebagainya perlu ditanggung Team Red Warriors Sdn. Bhd,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasmi Kelantan FA.

Alawi memberitahu, penswastaan itu nanti akan menyaksikan KAFA dan Kelantan FC akan terpisah serta mempunyai entiti masing-masing.

Katanya, selepas ini KAFA tidak lagi mempunyai apa-apa hak dan tanggungjawab ke atas Kelantan FC.

“Begitu juga dengan Kelantan FC yang tidak mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan KAFA.

“Untuk makluman Kelantan FC juga tidak terikat dengan bebanan hutang (lapuk) KAFA sebelum ini,” ujarnya.

Alwi berkata, selepas ini KAFA hanya terlibat dengan aktiviti pembangunan bola sepak seperti menganjurkan pertandingan Liga Tempatan, pertandingan bawah umur dan banyak lagi.

“Isu yang timbul dalam seminggu dua ini berkenaan penjualan pasukan bola sepak pada hakikatnya adalah penjualan dan pengambilalihan syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd bukannya KAFA.

“Mana-mana pihak yang ingin membeli dan mengambil alih pasukan Kelantan hendaklah membeli saham-saham dalam syarikat tersebut dan seterusnya mendapat hak menguruskan Kelantan Fc dalam pertandingan musim 2021,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya