MONTREAL: Selepas Rafael Nadal, giliran juara wanita, Bianca Andreescu pula menarik diri daripada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) atas alasan kurang persiapan akibat Covid-19.
Bintang Kanada itu berkata, dia memerlukan masa untuk membina semula kecergasan selepas kurang menjalani latihan.
Andreescu, 20, tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Oktober lalu akibat kecederaan lutut dan pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan.
“Selepas berbincang dengan mereka yang rapat, saya membuat keputusan sukar untuk tidak beraksi dalam Terbuka AS tahun ini.
“Saya hanya akan kembali menyertai kejohanan apabila berada pada tahap kecergasan terbaik,” kata pemain No. 6 dunia, Andreescu.
Tahun lalu, Andreescu mengejutkan juara enam kali, Serena Williams 6-3, 7-5 untuk merangkul kejuaraan Grand Slam pertamanya.
Ketiadaan Andreescu menjadikan persaingan wanita semakin hambar selepas pemain No. 1 dunia, Ash Barty, Elina Svitolina (lima) dan Kiki Bertens (tujuh) terlebih dulu menarik diri.
Tiga hari lalu, jaguh Sepanyol, Nadal mengumumkan tidak akan mempertahankan gelaran perseorangan lelaki kerana enggan mengambil risiko beralih dari permukaan tanah liat ke gelanggang keras secara mendadak.
Terbuka AS akan berlangsung di New York dari 31 Ogos hingga 13 September. – AGENSI