Takkan bayar sebulan je? - Utusan Malaysia

Takkan bayar sebulan je?

PEMAIN Kedah tetap bersemangat menjalani latihan biarpun masih dibelenggu isu tunggakan gaji. – KEDAH FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun sedikit lega, namun rata-rata pemain Lang Merah kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Kedah (KFA) yang cuma menyelesaikan tunggakan sebulan gaji daripada keseluruhan lima bulan yang tertangguh sebelum ini.

Pemain yang enggan nama­nya didedahkan berkata, mereka mengharapkan pembayaran setidak-tidaknya dibuat untuk nilai gaji dua bulan kerana ia sudah lama tertunggak.

“Kalau betul nak bayar, mungkin bolehlah beri setidak-tidaknya dua bulan sebelum liga bersambung pada 26 Ogos depan.

“Keadaan sekarang agak menekan kerana ada pemain diberi amaran supaya keluar dari rumah sewa sebab beberapa bulan tak bayar.

“Harap perbincangan bersama pemain untuk selesaikan tunggakan empat bulan gaji lagi dilaksanakan secepat mungkin.

“Jangan buat kami tertunggu-tunggu seperti sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar memaklumkan bayaran gaji Mac untuk pemain dan anggota pasukan itu akan diselesaikan pada 15 Ogos depan.

Dalam kenyataan sama beliau berkata, tunggakan bagi April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan penyelesaian setelah rundingan dilakukan dalam masa terdekat.

Seorang lagi tonggak pasukan yang dihubungi memaklumkan, mereka kecewa apabila ada ke­nyataan menyatakan kononnya gaji pemain hendak dipotong sebelum ini.

“Kalau hendak potong gaji semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kami sedia berunding tetapi kalau potong gaji hingga tamat kontrak, kami tak setuju.

“Diharap kedua-dua pihak hormati kontrak yang telah dimeterai. Dalam masa sama, usahalah untuk selesaikan tunggakan gaji kami, terutama untuk bayaran bagi tempoh sebelum pelaksanaan PKP sebelum ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya