KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyangkakan kakinya patah selepas terasa amat sakit di bahagian pangkal paha sejurus terlibat dalam kemalangan ngeri pada Grand Prix Austria semalam.
Bagaimanapun pelumba pasukan Aspar Team itu lega, laporan perubatan mengesahkan tiada tulang yang retak dan dia masih berharap untuk berlumba di litar yang sama hujung minggu ini.
“Saya rasa baik, bertuah kerana tiada apa-apa yang patah selepas kemalangan itu.
“Ia kemalangan yang buruk, rasa sakit di kaki, berhampiran pangkal paha seolah-olah macam patah. Namun kami mengesahkan tiada apa yang retak.
“Sekarang saya cuba pulih untuk berlumba minggu depan (Ahad ini),” kata Hafizh dalam Facebook rasminya.
Semalam, Hafizh terbabit dalam kemalangan ngeri pada awal perlumbaan di Litar Red Bull Ring selepas gagal mengelak motosikal Enea Bastianini yang terjatuh.
Dia diberi rawatan segera oleh pasukan perubatan sebelum disahkan sedar dan berada dalam keadaan stabil.
Perlumbaan tersebut terpaksa dihentikan sementara apabila bendera merah dikibar sebelum bersambung kepada 13 pusingan, menyaksikan pelumba KTM, Jorge Martin memenangi saingan.
Hafizh dijadual beraksi di litar yang sama hujung minggu ini dalam Grand Prix Styria.