KUALA LUMPUR : “Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”.
Itu perumpamaan diberikan Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Mohamadou Sumareh yang ‘hilang’ dari sesi latihan Tok Gajah sejak sebulan lalu.
Tindakan pemain kelahiran Gambia itu amat mengecewakan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas mereka berusaha menjadikannya pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya.
Kata Suffian, jika mempunyai masalah atau tidak berpuas hati dengan PBNP, Sumareh sepatutnya menyelesaikan perkara itu secara profesional dengan bertemu pihak pengurusan.
Beliau menyerahkan kepada PBNP untuk menentukan hukuman ke atas pemain sayap berusia 26 tahun itu.
“Sumareh tidak hadir latihan sebulan dan perkara ini sudah dibawa ke pengurusan tertinggi PBNP untuk tindakan lanjut.
“Secara teknikal dia masih pemain Pahang kerana mempunyai kontrak sehingga 2020.
“Hukuman apa akan dikenakan saya tidak tahu tetapi apa yang dilakukan Sumareh tidak profesional kerana dia menyertai pasukan secara baik dan kenapa di saat ingin tingalkan pasukan tidak menunjukkan sikap sama.
“Sebagai contoh (Matthew) Davies, berjumpa pihak pengurusan secara profesional dan kita tiada masalah. Bukan dengan cara protes sebegini.
“PBNP perlu menjatuhkan hukuman terhadap Sumareh sebagai peringatan kepada pemain lain,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan ke-56 FAM di sini semalam.
Spekulasi sebelum ini bertiup kencang Sumareh mahu ke Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyertai Davies, namun dia kemudian dikaitkan pula dengan pasukan Selangor.
Kali terakhir Sumareh beraksi bersama Pahang adalah pada Februari lalu ketika tewas 1-2 kepada Selangor sebelum Liga Malaysia berehat panjang akibat pandemik Covid-19.
“Bukan hendak mengungkit tetapi sekurangnya dia kenang jasa PBNP menjadikan dia pemain naturalisasi pertama negara.
“Orang berbudi kita berbahasa.
“Apa boleh saya katakan sekarang hatinya sudah tidak lagi bersama Pahang,” kata Suffian.