MADRID: Tidak sampai setahun membimbing Barcelona, Quique Setien akhirnya dipecat hari ini, dan nama Ronald Koeman serta Mauricio Pochettino disebut sebagai calon pengurus baharu.
Pemecatan pengendali dari Sepanyol itu diumumkan kelab awal pagi tadi.
Setien yang menyertai Barca pada Januari lalu menggantikan Ernesto Valverde hanya sempat mengendali kelab gergasi Sepanyol itu dalam 25 perlawanan.
“Jurulatih baharu akan diumum beberapa hari lagi sebagai penstrukturan besar pasukan,” kata Barca dalam Twitter.
Pemecatan itu sudah diduga ekoran kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara, selain terlepas gelaran La Liga kepada Real Madrid.
Dalam pada itu, Koeman yang pernah beraksi bersama Barcelona pada1989 dan 1995 difahamkan berminat untuk menggalas tanggungjawab di Camp Nou. – AGENSI