IPOH: Desus-desas mengenai peletakan jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Mohd. Azlin Mohd. Nadzri menjadi kenyataan.
Ini berikutan langkah Pafa memperkenalkan orang baharu untuk menjawat jawatan itu semalam, sekali gus menamatka khabar angin semasa Kongres Tahunan Ke-62 persatuan itu pada 4 Ogos lalu.
Orang baharu yang dilantik itu ialah bekas Penolong Setiausaha PKNP FC, Mohamed Helmi Mohamed.
Timbalan Presiden Pafa, Datuk Adly Shah Ahmad Tah ketika dihubungi mengesahkan mengenai peletakan jawatan Mohd. Azlin itu.
“Tidak ada apa masalah antara kami. Ini normal, biasa ke arah penstrukturan pentadbiran Pafa,” katanya.
Adly berkata, perubahan itu tidak menjejas usaha ke arah penswastaan Perak FA ke FC.
“Sedikit sahaja lagi dan kemasukkan Helmi akan melancarkan lagi proses kerana dia pernah berkhidmat dengan PKNP FC,” katanya.
Sementara itu. Azlin ketika dihubungi mengesahkan langkahnya meletak jawatan kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaannya.
“Saya sudah menyatakan hasrat untuk berhenti beberapa kali kerana ingin memberi perhatian kepada perniagaan.
“Alhamdulillah akhirnya hasrat saya itu diperkenankan oleh Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal merangkap Menteri Besar Perak,” ujarnya.