MADRID: Jurulatih berpengalaman Belanda, Ronald Koeman bakal dibawa masuk untuk memulihkan Barcelona, yang dijangka menjual separuh daripada pemainnya dalam misi membina semula pasukan musim depan.
Presiden Barcelona, Josep Bartomeu mengesahkan, rundingan dengan Koeman memasuki fasa akhir dan hanya menunggu masa untuk ditandatangani.
Dia turut mengakui, gergasi bola sepak Catalan itu sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain yang menjadikan mereka pasukan terbaik dunia.
Barcelona juga mahu menebus kesilapan yang dilakukan ketika berbelanja 250 juta euro (RM1.24 bilion) untuk membeli Ousmane Dembele dan Philippe Coutinho.
Gerard Pique, Luis Suarez, Jordi Alba dan Sergio Busquets antara pemain tidak dikehendaki, manakala Lionel Messi masih dalam perancangan Koeman biarpun turut meminta untuk keluar dari Camp Nou.
“Sekarang masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang pernah menjadikan kami kelab terbaik dunia.
“Saya tidak mahu bercakap buruk tentang sesiapa, kami kena keluarkan mereka dengan cara terhormat.
“Ini bukan krisis sosial atau ekonomi tetapi ia isu sukan.
“Sesetengah pemain ini tahu mereka tidak akan meneruskan karier di sini. Benarkan mereka pergi secara percuma? Semua pilihan adalah terbuka,” kata Bartomeu kepada Barcelona TV.
Koeman, 57, ditawarkan kontrak dua tahun untuk menggantikan Quique Setien yang dipecat semalam ekoran kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara, Sabtu lalu.
Gergasi bola sepak Sepanyol itu juga bertindak menyingkirkan Pengarah Sukan, Eric Abidal dalam sebahagian daripada usaha penstrukuran semula.
Senarai pemain yang disahkan kekal di Barcelona bagaimanapun menimbulkan pertikaian dalam kalangan pemerhati bola sepak.
Mengekalkan Frenkie De Jong, Clement Lenglet dan Antoine Griezmann masih boleh diterima tetapi terus ‘menyimpan’ Nelson Semedo yang beraksi buruk ketika menentang Bayern, selain Dembele bukan keputusan tepat.
Situasi Messi turut mencetuskan drama di Camp Nou.
Radio Sepanyol, Cadena Ser melaporkan, Bartomeu memberitahu bapa Messi, Jorge bahawa Koeman mahu anaknya kekal.
Begitupun Jorge mahu Bartomeu bercakap sendiri secara bersemuka dengan bintang penyerang Argentina itu. – AGENSI