MANCHESTER: Raphael Varane rela dipersalahkan sepenuhnya selepas dua kesilapan yang dilakukan menyebabkan juara 13 kali, Real Madrid tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Jaringan Raheem Sterling dan Gabriel Jesus memastikan City menang 2-1 di Etihad, sekali gus mara ke suku akhir secara agregat 4-2.
Gol tunggal Real disempurnakan oleh Karim Benzema.
Varane hilang kawalan dalam kawasan sendiri hingga membolehkan pemain lawan merampas bola sebelum Sterling merembat gol pertama pada minit kesembilan.
Bek tengah Perancis itu mengalami mimpi lebih ngeri pada minit ke-68 apabila menanduk bola kepada penjaga gol sendiri, Thibaut Courtois tanpa menyedari Jesus berada berhampiran mereka.
Penyerang Brazil itu pantas merampas bola untuk meledak gol kedua tuan rumah.
“Saya mahu tunjukkan muka kerana kekalahan ini berpunca daripada saya.
“Saya ambil sepenuhnya tanggungjawab.
“Kami melakukan persiapan dengan baik tetapi beraksi di peringkat seperti ini, setiap kesilapan perlu dibayar dengan harga tinggi.
“Saya tidak dapat jelaskan tentang kesilapan itu, ia boleh berlaku dalam bola sepak.
“Malam yang amat sukar buat saya,” kata Varane kepada Spanish TV. – AGENSI