SHAH ALAM: Kedudukan B. Sathianathan sebagai Ketua Jurulatih Red Giants belum selamat sekalipun berjaya memenuhi sasaran menjuarai Piala Malaysia dan layak ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Kontrak jurulatih berusia 62 tahun itu yang tamat hujung musim ini dikatakan tidak akan disambung kerana Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah mempunyai calon baharu.
Jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak yang kini berdepan isu tunggakan gaji di Kedah antara yang dikaitkan dengan Selangor.
“Kita akan tengok kepada situasi. Terjamin atau tidak masih dalam perbincangan.
“Sasaran kami tidak berubah dan Sathia sudah dimaklumkan tentang perkara itu.
“Kami mahu layak ke Piala AFC tahun depan selaku naib juara Liga Super atau juara piala Malaysia.
“Isu sama ada jurulatih Sathia kekal atau tidak, akan dibincang dalam peringkat komuniti.
“Walaupun beliau menang atau kalah kita akan bincang semula.
“Buat masa ini apa yang boleh saya katakan beliau masih pengendali Selangor,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon semalam.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani perjanjian FAS dan Les’ Copaque Production di Shah Alam.
Johan bagaimanapun menafikan Selangor sudah mempunyai senarai calon jurulatih baharu.
“Apa yang saya cakap hari ini mungkin tidak sama dalam beberapa bulan lagi.
“Tentang (Aidil Shahrin), tidak…sebab jurulatih itu tiada dalam senarai calon buat masa ini sebab kita sendiri belum ada calon.
“Tahun lepas (Sathianathan) tidak menang apa-apa tapi kekal ketua jurulatih pasukan utama, jadi tahun ini kita akan buat penilaian sebelum mengambil keputusan,” katanya.
Mengikut perjanjian pemain atau jurulatih, mereka boleh mengetahui status bersama pasukan tiga bulan awal sebelum kontrak berakhir.